A Quest 4 Myself

Tuesday, May 11, 2010

Quest 22: Ibu dan Kenangan


Hari ibu tiba lagi dan seperti biasa sekali lagi aku sekadar mampu untuk menitipkan ucapan di hujung talian. Sejuk rasanya hati apabila dapat mendengar gemersik suara emak. Terasa juga sedikit rasa bersalah kerana emak baru sahaja ingin menikmati makan malam. Seusai berbual, sejenak fikiran ini melayang teringatkan kenangan selama 25 tahun hidup di dunia ini. Tidak pernah kurang kasih sayang yang emak berikan. Aku sendiri tidak pasti berapa kali pula hati emak terluka dengan kata-kata dan perbuatan aku. Ampunkan aku ibu. Aku akui..sejak kecil aku memang anak yang degil. Pantang ada peluang, pantas sahaja aku mengingkari perintah ibu. Dan saban waktu aku mengira detik akan melangkah ke sekolah menengah. Tidak sabar untuk berjauhan dari rumah. Saat rakan-rakan sedih berada di asrama, aku pula menikmati waktu-waktu yang berlalu dengan rasa gembira. Apabila aku beranjak ke usia kedewasaan,barulah aku sering terfikirkan keadaan emak. Betapa selama ini aku hanya meletakkan apa yang aku rasa di hadapan diriku. Aku tahu, emak sering menyembunikan rasa kesayuan di hadapanku. Emak selalu menyambut aku dengan senyuman kerana tidak mahu aku risau. Setiap kali cuti sekolah, apa yang sering aku luahkan hanyalah keluhan kebosanan berada di rumah. Dan emak..hanya membalas dengan senyuman dan tidak pernah menghalang sekiranya aku ingin pulang awal ke asrama, atau menghabiskan cuti di rumah rakan-rakanku. Sehinggalah suatu ketika..emak membalas dengan suara perlahan dan terus berlalu.." Duduklah di rumah cuti kali ni, bukannya selalu duduk di rumah." Saat itu aku betul-betul tersentak.
Emak..ampunkan aku.. Aku tidak pernah meletakkan diriku di tempatmu. Duduk di rumah, membilang waktu anak-anak akan pulang ke kampung apabila tiba cuti sekolah. Sesungguhnya emaklah ibu terbaik yang dianugerahkan oleh Allah untuk diriku. Ya Allah..dalam kesempatan yang ada ini, berilah aku peluang untuk membahagiakan ibu. Aku tidak pernah tahu hidupku ini sampai bila namun dalam ruang waktu yang ada ini, lapangkanlah jalan di hadapanku dengan seluas-luasnya untuk aku berbakti kepada ibuku.. Emak.. dalam setiap detik nadi...aku menyayangimu.. Engkaulah ratu hatiku...