Quest 24: Sejenak Merenung Langit
Saat berjauhan dari tanah kelahiran sering kali menjadikan aku seorang pemikir. Setidak-tidaknya aku berfikir tentang perjalanan kehidupan yang telah aku lalui. Tanah tempat aku berjejak saat ini pernah menjadi suatu yang amat asing bagiku. Terpisah oleh Laut China Selatan, aku tidak pernah membayangkan aku akan berada di sini suatu ketika nanti. Hidup dikelilingi budaya dan bahasa yang berbeza. Tika aku menatap birunya langit di sini,terintas di kotak fikiran bahawa langit ini juga yang memayungiku dari dahulu hingga kini. Bercantum walaupun terpisah oleh lautan dan benua. Namun, ianya juga menyedarkan aku tentang awan yang turut sama meneduhkan di atas sana. Ianya BERBEDA. Tamsilan pengalaman hidup juga begini. Kita mungkin melalui jalan yang sama tapi cabarannya seringkali berlainan. Walau apapun,segalanya adalah anugerah untuk aku terus merintangi hari-hari depan. Hidup inikan terlalu singkat untuk disia-siakan. Aku pasti, seketika waktu mungkin aku boleh berlari menuju ke hadapan tetapi di seketikanyang lain aku hanya mampu merangkak dan bertatih. Teruslah maju kehadapan wahai diri. Biarpun lambat, aku akan tiba juga ke destinasi. Dan aku perlukan segalanya! Aku perlukan gelak tawa, air mata, parut luka juga kata nista. Kerana semua inilah yang akan mengajar aku menjadi lebih dewasa. Atau sekurang-kurangnya menjadikan ceritera hidupku sesuatu yang hebat untuk dikisahkan pada semua. Bukan sekadar kisah bosan hidup tanpa cabaran. Bukankah perwira hebat dalam hikayat dongeng juga perlu berjuang sebelum bertemu puteri idamannya...