A Quest 4 Myself

Tuesday, January 6, 2009

Quest 2: Aku Bersyukur Atas Setiap Kurniaan



Ya Allah...
Terlalu banyak kurniaan daripadaMu dalam hidup ini.Aku memohon keampunan daripadaMU Ya Allah kerana pernah merasa hidup ini terlalu susah dan pernah juga ingin mengalah.
Kalaulah hidup ini umpama lukisan..mungkinkah lukisanku ini yang paling banyak coretan warnanya.Setiap detik yang melewati hidupku kini benar benar menginsafkan. Pernah dulu aku hidup di jurang yang paling dalam tetapi kini aku memerhati dari puncak yang tertinggi.Aku ingin menikmati setiap anugerah yang Kau kurniakan tanpa sangsi..Aku tidak pernah tahu hidup ini sampai bila namun dalam ruang yang terhad ini,biarlah ianya dipenuhi detik detik gembira yang tidak melekakan kerana walau di mana dan siapa pun aku...aku tetap seorang hamba..
Ya Allah..
Terima Kasih untuk keluarga yang memahami..
Terima Kasih untuk teman-teman yang menyayangi..
Terima Kasih untuk kehidupan yang penuh warna-warni..
Terima Kasih untuk setiap kurniaan yang diberi..

Friday, January 2, 2009

Quest 1: Aku cuba untuk Bermimpi


Hidup ini perlu berani bermimpi….Biarpun bukan segalanya mampu menjadi realiti, setidaknya ianya mampu menerbitkan secebis harapan dalam nurani. Aku sudah puas meneroka daratan, dan sesekali aku bermain di tepian, melangkah dalam dingin disapa hembusan.Aku ingin sekali belayar ke tengah lautan, merempuh gelora, menyelam ke dasarnya dan mengutip butiran mutiara. Aku tidak ingin hidup ini sekadar sia sia..
Di sini sekali lagi aku bermula…inilah manifestasiku pada sebuah rasa kecintaan yang seringkali aku inginkan. Berkongsi rasa dengan bait kata-kata. Aku tidak pasti dari mana ianya lahir. Yang aku tahu, aku tidak ingin segalanya berakhir. Inilah sebuah pencarian…Juga sebuah taruhan…untuk aku mengenali siapa diri aku yang sebenarnya.
Apa yang aku harapkan agar aku tidak akan berhenti di pertengahan. Ya. Mungkin sesekali aku juga akan lelah dihambat waktu yang tidak pernah berhenti. Namun, selagi degup jantung dan hela nafas masih bersisa, Aku tetap akan bangkit menyulam sebuah azimat…biarpun dalam gelap malam yang zulmat.
Inilah bicaraku pada diri sendiri...seorang lelaki yang cuba mencari erti dalam hidup yang singkat ini…………….