A Quest 4 Myself

Tuesday, March 10, 2009

Quest 11: Perjalanan Menghayati KebesaranNya




Untuk manusia yang bijaksana, kebesaran Allah terbentang di sekeliling kita..Cuma manusia yang terlalu alpa untuk duduk sejenak dan berfikir..menghayati dan mensyukuri. Sesudah membaca doa, kami mulakan perjalanan dengan rasa yang berbelah bahagi di dalam hatiku. Baru sahaja bergerak meninggalkan kampus, ujian pertama menjelma; perlu berpatah semula mengambil ubat untuk emak yang tertinggal di atas meja. Rasa berkecamuk di dalam hati makin terasa. Juga rasa bersalah pada teman-teman kerana tidak cukup bersedia. Perjalanan diteruskan dengan doa yang tidak putus-putus. Subhanallah..indahnya menatap langit petang tatkala melintasi kawasan belukar, hutan dan beberapa pekan kecil. Langit petang sudahpun bertukar kelabu dan ujian kedua pula yang mendatang. Secara tiba-tiba kereta mengalami kerosakan walaupun masih mampu untuk bergerak..dan gerimis mula turun saat kami turun untuk memeriksa kenderaan. Bersama teman-teman, kami berpakat untuk berpatah balik mencari bengkel terdekat. Di saat melintasi sebuah surau kecil di tepi jalan, kami singgah untuk menunaikan solat asar, memohon dipermudahkan perjalanan. Sekali lagi hati terpaku melihat keindahan alam. Dalam kesuraman langit mendung berselang seli dengan gerimis, beberapa ekor itik dan angsa bermain di tepi kolam bersebelahan surau; mengasyikkan! Usai menunaikan solat asar, kami bergerak menuju ke bengkel berdekatan dan saat itu juga aku bertanya pada teman sama ada ingin meneruskan hajat menuju ke rumahku. Atas dorongan teman, kami teruskan juga perjalanan walaupun resah di hati semakin terasa. Titisan hujan di cermin kereta sedikit sebanyak menenangkan hati. Perjalanan diteruskan melintasi ladang getah , sawit dan hutan; seakan bercerita keagungan kebesaran pencipta. Menjelang isya' kami tiba di rumah, di sambut suara kecil anak saudaraku yang tinggal bersama emak dah ayah. Alhamdulillah...semoga perjalanan ini dipermudahkan lagi pada keesokan hari. Seawal pagi, sesudah bersarapan seadanya, kami memulakan perjalanan ke Taman Negara. Hujan yang turun hampir membantutkan niat ingin ke sana namun memikirkan semangat teman-teman, kubiarkan saja detik hati yang menghalang. Perjalanan ke taman Negara memang mengasyikkan (walaupun aku sudah beberapa kali ke sana, setiap perjalanan tetap mengagumkan). Melihat langit yang membiru bersatu dengan kepulan awan yang memutih lalu bertemu dengan kehijauan pepohon seluas mata memandang, hati menjadi begitu tenang. Ya Allah, aku tidak pernah tahu hidup ini sampai bila, namun aku bersyukur dengan setiap aturan dan rahmat-Mu, menganugerahkan manusia dengan seindah-indah ciptaan. Setelah menghabiskan masa selama beberapa jam menikmati dan menghargai keindahan taman negara, kami menyusur jalan pulang ke rumah. Alhamdulillah..alhamdulillah..alhamdulillah. Ya Allah, berikan lagi aku kesempatan dan waktu untuk kembali ke sini.. Untuk terus mensyukuri dan menghayati kebesaran-Mu. Juga buat teman-teman..terima kasih untuk setiap kenangan..

0 Comments:

Post a Comment

Subscribe to Post Comments [Atom]



<< Home