A Quest 4 Myself

Thursday, February 26, 2009

Quest 10: Sebuah Kisah Yang Baru


Tidak tahu bagaimana ingin memulakan, mungkin lebih elok sekiranya aku mengimbau sekelumit kenangan.. Bermula daripada tidak pernah mengenal antara satu sama lain, kami menyulam satu persaudaraan yang sangat erat.. Persaudaraan yang di bina atas dasar keikhlasan dan menghargai kasih sayang ilahi. Ianya berputik dan berkembang mekar melewati batas-batas waktu. Saat-saat akal dihimpit tekanan, kami saling bersandar kukuh di antara satu sama lain. Ibarat aur dengan dengan tebing. Saat si adik menjadi goyah, si abang turut berhenti untuk tolong memapah. Begitulah sebaliknya. Namun hakikat persahabatan, pasti dilanda ujian. Saat menerima perkhabaran yang mengejutkan, diri ini cuba mencipta kekuatan dan mencari kesabaran.Hati ini benar-benar yakin bahawa apa yang dia lakukan pasti sudah difikirkan sedalam-dalamnya. Aku mahupun dia...sekadar manusia biasa yang tidak pernah lepas dari kesilapan.Lalu pertemuan diatur dalam suasana kekeluargaan. Walaupun tika dan saat itu akal masih kebuntuan, aku tetap cuba berdepan dengan kenyataan. Namun saat mendengar alasan bahawa bukan niatnya untuk tidak memaklumkan... Cuma dia hanya ingin berkongsi dengan sahabat terdekat...barulah diri ini sedar jarak yang semakin terpisah di antara aku dan dia. Bila hati aku masih dan terus menganggap dirinya bagai seorang abang, aku bukan lagi seorang adik dalam sisi hidupnya.. Mungkin aku sedih tapi aku mengerti hakikat persahabatan..umpama sebuah pelayaran... Mungkin sudah sampai waktu untuk dia dan aku mengubah haluan pelayaran masing-masing.. Apa pun, doa dan rasa hormat pada dirinya tidak pernah berubah... Dan aku sentiasa mengharapkan bahawa kami akan ketemu lagi di tengah perjalanan.. Segala puji bagi Allah... saat menerima mesej darinya baru-baru ini, aku memanjatkan kesyukuran yang tidak putus-putus kepada Allah. Aku sudahpun melupakan kisah lalu kerana apa yang lebih penting ukhwah ini terus terjalin dan mendapat rahmat di sisiNya.. Aku berharap inilah permulaan untuk sebuah kisah yang baru.. Keindahan dalam persahabatan- SENYUMAN dan KEMAAFAN..


Wednesday, February 25, 2009

Quest 9: Sekali Air Bah

Hidup ini satu perjalanan yang singkat. Kita tidak mungkin dapat mengalami segalanya melalui pengalaman sendiri. Kerana itu, kita juga harus belajar daripada pengalaman orang lain. Dari situlah kita merangkak, bertatih , berjalan dan akhirnya mampu berlari. Setiap masa yang kita lalui pasti membawa perubahan dalam hidup. Ibarat musim yang silih berganti...mentari yang hadir setelah tengkujuh berlalu... Aku sendiri merasa sudah terlalu banyak berubah. Aku berharap segala perubahan ini adalah sesuatu yang positif. Ada perubahan yang mengambil masa dan ada juga perubahan yang berlaku sekelip mata. Kadang-kala aneh bila difikirkan sesuatu yang ku benci bertukar menjadi kegemaran setiap hari dan sesuatu yang sering kurindui tiba-tiba sahaja ingin sekali dijauhi... tapi inilah dinamakan kehidupan.. Sekali air bah, Sekali pantai berubah....

sesudah musim yang silih berganti...

akhirnya mekar dan berkembang...

Sunday, February 15, 2009

Quest 8: Sesuatu Yang Pasti


Kematian itu hakikat yang pasti...Kehidupan hanyalah sekadar harapan dan doa. Aku sendiri tidak mampu untuk berkata bahawa aku akan hidup pada detik yang berikutnya. Sejak akhir-akhir ini, ingatan tentang kematian mengekoriku saban waktu. Mengingati mati itu satu kebaikan. Ia mengingatkan aku tentang menghargai kehidupan dengan jalan yang diredhaiNya. Namun saban waktu juga aku semakin dihambat dosa-dosa silam. Menyesali dan berharap waktu dapat diputar kembali. Aku takut jika dijemput olehNya tika aku masih penuh dengan palitan noda. Tiada sesiapa yang tahu hidup ini sampai bila. Tidak sampai seminggu aku menerima berita pemergian seorang jiran. Saat kutinggalkan rumah, lelaki itu masih sihat. Malah sempat juga allahyarham menziarahi ayahku yang terlentang tidak bermaya akibat sakit kuat. Tetapi inilah janji Allah pada setiap hambaNya. Andai waktu dan ajal telah tiba, tidak akan dilambat atau dipercepat walaupun untuk sesaat. Dahulu ketika kecil, aku sering mendoakan agar aku dan insan-insan yang kusayang dipanjangkan umur. Namun, setelah aku semakin melewati jalan-jalan kehidupan, menuju ke alam kedewasaan, aku tidak lagi berdoa sedemikian. Aku sedar hakikat hidup di dunia. Yang penting adalah agar umur ini diberkati. Ibarat bait-bait lagu Sepohon Kayu "walaupun hidup seribu tahun, kalau tak sembahyang apa gunanya.", begitulah kehidupan. Andai dikurnia umur seribu tahun sekalipun, jika tidak digunakan untuk menuju ke jalan yang diredhaiNya, tetap tidak akan berguna. Apa yang kuharapkan kini, biarlah sisa-sisa waktu yang aku sendiri tidak tahu sampai bila ini, menjadi halaman untuk aku mengguyur kembali cinta kepada yang Maha Esa. Aku ingin menemuiNya bersama sinaran cahaya, bukan di laluan yang penuh gelita.


"Ya Allah, kurniakanlah padaku, kedua ibu bapaku, guru-guruku, kaum keluargaku, sahabat-sahabatku serta semua muslimin dan muslimat, kehidupan yang penuh diberkati. Kuatkan hati kami dengan ketaqwaan padaMu serta matilahkan kami dengan pengakhiran yang terbaik di sisiMu. Hanya padaMu tempat kami bermohon... Amin Ya Allah.."

Monday, February 9, 2009

Quest 7: Hidup dengan Kata-Kata



Manusia hidup berpegang pada falsafah yang tersendiri. Seringkali menjadikan kata-kata dari seseorang yang dikenali atau ternama sebagai perangsang untuk terus maju dan bergerak ke hadapan. Juga sebagai penguat semangat tatkala berdepan dengan dugaan. Setiap kali diajukan soalan pada teman-teman tentang falsafah hidup mereka, banyak sekali kata-kata yang kudengar dan membuatkan aku turut teruja. Namun, disaat aku yang diajukan soalan yang sama, aku pasti terpinga-pinga kerana aku tidak tahu jawapannya! Aku bertindak berdasarkan keadaan dan peristiwa. Dan aku pastinya tidak akan mampu untuk memilih satu kata-kata kerana aku suka pada semuanya. Namun aku percaya,selagi aku berusaha untuk mencari...segalanya pasti akan aku temui. Sehinggalah suatu saat, aku bertemu dengan sebaris kata-kata yang terus membuatkan aku pasti itulah yang kutunggu selama ini.

"HIDUP DENGAN KATA-KATA MAMPU MEMBERIKAN KEBAHAGIAAN YANG DICARI."

Aku tidak tahu siapa penulisnya. Aku ingin sekali berterima kasih padanya. Sebaris ayat yang membuatkan aku melihat kehidupan dari seluruh sisi yang berbeza. Duniaku terbentang seluas hamparan tanpa batasan. Aku tidak perlu lagi bingung membuat pilihan. Kerana aku bisa berpegang pada semua bait-bait kata yang aku suka.. Yang akan memberikan kekuatan setiap kali aku lelah dan hampir berputus asa... Dan aku akan terus mengumpul setiap kata penuh berhikmah agar dapat berkongsi pada teman-teman yang memerlukan..


Sunday, February 8, 2009

Quest 6: Di situ ada kasihnya



Sesekali diri ini begitu teringin untuk menikmati keenakan aiskrim....yang dibuat oleh emak. Pernah juga terjumpa dan membeli aiskrim di sini, namun ia hanya menambahkan rasa rindu aku pada aiskrim emak. Entahlah..rupanya tetap sama dengan yang dijual di sini tetapi rasanya...terlalu banyak yang kurang. Aku tidak mengerti di mana letak keistimewaannya ataupun mungkin emak mempunyai ramuan rahsia...hanya emak yang tahu...Yang pasti ianya dibuat dengan penuh kasih sayang..mungkin itulah ramuan rahsia yang tiada tandingan nilainya. Terkenang juga kisah sewaktu disuruh emak untuk menjual aiskrim yang dibuat. Kenduri kahwin adalah agenda yang sangat popular sewaktu musim cuti persekolahan. Waktu itu juga emak akan membuat begitu banyak aiskrim untuk dijual. Biasanya aku dan abang yang ditugaskan untuk menjualnya. Apabila abang sudahpun memasuki sekolah berasrama, tinggallah aku seorang meneruskan perniagaan tersebut. Perisa yang paling digemari tentunya limau kasturi..mungkin kerana rasanya yang asli (emak memetik dan memerah sendiri jus limau kasturi dari pokok di tepi rumah).Tapi..mungkin memang dari kecil aku degil dan suka melawan. Sedang emak sibuk membantu di dapur, aku akan menyuruh rakanku yang menjualkan aiskrim tersebut agar aku boleh bermain bersama teman-teman yang lain. Upahnya...sebatang aiskrim buatan emak yang sentiasa menjadi kegilaan rakan-rakan pada waktu itu. Akhirnya pecah juga tembelangku. Teruk juga aku dimarahi. Bukan apa..Pada emak tidak patut aku memberi upah sekadar sebatang aiskrim pada teman yang menggantiku menjual aiskrim tersebut. Itulah antara kenangan yang kadang kala membuatkan aku tersenyum sendirian. Waktu-waktu panas begini menambahkan keinginanku untuk pulang ke kampung... hanya untuk menikmati aiskrim yang dibuat oleh emak...kerana DI SITU ADA KASIH SAYANGNYA yang tidak mampu ditukar ganti...

Wednesday, February 4, 2009

Quest 5: Diantara Persahabatan & Pelayaran



Persahabatan umpama sebuah pelayaran. Kita belayar di atas kapal kita sendiri. Kadang kala, kita singgah dan tumpang berteduh di atas kapal seorang sahabat. Di waktu yang lain, kita pula yang menawarkan tempat berlindung buat mereka. Indahnya sebuah persahabatan kerana ianya ada di mana-mana. Jangan takut untuk belayar kerana pasti ada kapal yang akan singgah menawarkan persaudaraan. Andainya dalam pelayaran...ada ribut dan gelora yang melanda..usah gusar...lihatlah ke hadapan. Pasti ada cahaya yang menanti...dari kapal seorang sahabat. Aku sendiri punya kapal yang besar untuk sesiapa yang sudi menjadi teman. Seribu sahabat itu terlalu sedikit dan seorang musuh itu sudah terlalu banyak..Buat teman-teman terdahulu...aku ingin belayar lagi sekarang...menjengah lautan luas dan mencipta persahabatan yang baru..Tiba masanya kita pasti bertemu kembali.. Sehingga sampai saat itu..simpanlah setiap kenangan sebagai azimat di saat sepi mencengkam diri..



Aku titipkan puisi buat kalian...

A Simple Thank-You, My Friend (by warmhrt)

Into the dim lit, bare walls of my world,
You entered, bringing light and life to me,
The vivid colors, painted with a swirl
Of wit and charm, of personality,
With tender care, you added comfort, warmth,
And images that line the now bright walls.
I look upon them fondly, bringing forth
A thankfulness that you walk in these halls
With me; our friendship has become a part
Of my world now; it has its special place,
Within my being, life, and in my heart,
Your name hangs right beside your smiling face.
Rememb'ring just how drab these walls had been,
I have to thank you for the light, my friend

Tuesday, February 3, 2009

Quest 4:Kerana Kebetulan?


Terlintas di kepala sebaris madah dari seorang pujangga- “ Maka tiada sekecil apapun yang berlaku kerana kebetulan.”

Pantas fikiran ini teringat bait kata yang sering diungkapkan hampir setiap kali seorang manusia mendapat sesuatu; tatkala mendapat keputusan yang cemerlang -“kebetulan apa yang aku baca keluar dalam peperiksaan.” Atau ketika mencapai kemenangan – “dah nasib aku baik kali ini.” Atau juga sewaktu memperoleh apa yang dihajatkan – “kebetulan pula aku ada duit masa tu.”

Kita sering kali terlupa di sebalik kebaikan itu(yang sering kita anggap kebetulan) ada perancang yang agung iaitu Yang Maha Kuasa. Kita terlupa bahawa kita cuma satu watak di atas pentas lakonan ini. Kita seringkali alpa untuk mengucap syukur kerana sebenarnya hakikat kebetulan itu adalah rezeki dari Yang Esa, juga pada masa yang sama satu ujian untuk hambaNya. Sesungguhnya setiap nikmat yang disyukuri itu akan ditambah lagi olehNya dan sebaliknya jika kita kufur, ingatlah bahawa azab Allah itu amat pedih.

IRONINYA….saat kita ditimpa musibah barulah kita kembali pada yang Esa. Saat ini manusia sering memepersoalkan mengapa mereka yang diberikan ujian sedangkan jutaan lagi umat manusia melakukan juga kesalahan. Apalah dosa yang dilakukan sehingga seberat ini dugaan yang harus ditempuh. Tidakkah kita sedar bahawa setiap dugaan itu juga tanda kasih Allah pada hambaNya. DIA hanya menurunkan ujian yang pasti mampu ditanggung kerana DIA pencipta Yang Maha Penyayang. Jadi bersyukurlah setiap kali ditimpa ujian kerana itu tanda kitalah insan terpilih.

Seorang bekas bintang tenis ternama dunia, saat ditanya wartawan ketika menghadapi saat genting akibat sakit barah, apakah beliau sedih dengan apa yang menimpanya, memberikan jawapan yang membuatkan jiwa ini tersentak seketika. Saya titipkan erti penting kata-katanya untuk kita fikirkan bersama-sama:- “Saya tidak perlu bersedih dengan penyakit ini. Di dalam dunia ini, berjuta-juta manusia bermimpi untuk menjadi juara dunia. Dan di antara jutaan itu, hanya seorang yang terpilih dan sayalah manusia itu. Saat itu, tidak pula saya bertanya kepada tuhan mengapa saya yang dipilih?. Lantas disaat saya diberi penyakit ini,adilkah untuk saya mempersoalkannya?.”

Dunia ini terlalu singkat untuk disia-siakan. Hari yang indah memberi kita kenangan dan hari yang buruk memberi kita pengalaman. Kedua-duanya penting dalam sebuah kehidupan dan ianya adalah anugerah ilahi buat hamba yang dikasihi.

Aku Dan Dunia

Setiap kita punya cerita
Tentang nilai dan noda
Di atas pentas yang sekian lama tersedia
Seringkali kitalah pemuja
Kadangkala kitalah pujangga
Menilai dari mata yang buta
Mentafsir dari hati yang mati
Lupa pada segala akal dan budi
Dan aku…
Sekadar menjadi seorang pemerhati yang sepi

Monday, February 2, 2009

Quest 3: Bicara Aku tentang Ayah



Saat aku menerima panggilan telefon lewat 2 minggu lalu,mengheret aku menjengah ke sebahagian sisi hidupku yang seringkali aku lupakan...dalam sedar ataupun tidak,aku sendiri tidak pasti.Dan selang dua hari kemudian,aku menerima satu lagi panggilan yang membawa aku pulang ke kampung..sesuatu yang jarang aku lakukan tanpa sebab.Aku cuba mengimbau kenangan bersama seorang lelaki yang ingin sekali aku temui saat ini.Kenangan ketika aku dihantar ke sekolah tadika dan ditinggalkan berseorangan di depan pagar..kali pertama aku dibelikan aiskrim olehnya di kedai ketika di sekolah rendah..kali pertama aku menemaninya ke sungai menangkap ikan..dan.. semakin cuba untuk aku kenang, semakin aku tersentak.. Terlalu sedikit masa dan memori yang ku anyam bersamanya..Kali pertama aku memeluk dirinya...sewaktu aku sudah pun berusia 19 tahun...dan aku tidak pernah mengucup dirinya selain ditangan-pabila aku bersalam dengannya(menjelang raya dan setiap kali aku berangkat meninggalkan rumah).Dan baru juga tersedar yang aku tidak punya langsung walau sekeping gambar bersamanya untuk menyimpan kenangan melewati jalan kedewasaan ini.Ya Allah..Air mata ini ingin sekali menitis...ingin sekali aku menemuinya..memohon ampun...menebus setiap masa lalu yang aku sia-siakan..Aku gagal menahan sebak tatkala diberitahu ibu, bahawa lelaki itu ingin sekali merasa masakanku..di saat dia terlentang..tidak lagi berdaya walaupun untuk duduk..
Betapa sebak dan luluh hati ini saat aku menatap matanya yang sayu memandangku..tanpa mampu untuk meluahkan apa-apa...Setiap detik aku cuba untuk menjadi anak yang terbaik untuk dirinya..walaupun untuk seketika...Aku ambilkan wudhu'nya setiap kali tiba waktu solat...Aku tunaikan permintaannya untuk membaca al-quran buat dirinya setiap malam..dan aku tidak pernah berhenti berdoa agar Allah mengurniakan yang terbaik buat dirinya.. dan saat aku ingin berangkat pulang dari rumah..kutatap kembali wajah sayu lelaki itu...ku kucup tangannya..dan kucium dahinya buat pertama kali dalam hidupku dan kuharap bukan yang terakhir.Kini...ketika aku sendiri lagi di sini... terngiang-ngiang ditelingaku saat dititipkan pesan olehnya..agar aku redha dan sabar dengan setiap ujian dari yang Maha Esa...dan dia sendiri redha dengan setiap langkahku...Dialah lelaki itu...Dialah Ayahku..

Buat teman...andai masih punya waktu...berbaktilah seikhlasnya buat kedua orang tuamu...

Ya Allah ya tuhanku...Ampunilah dosa-dosaku dan kedua ibu bapaku serta rahmatilah mereka sebagaimana mereka memeliharaku sewaktu aku kecil dahulu...amin